Assalammaualaikum
Kembali aku di laman ini, pastinya bersebab. Aku sentiasa sedar yang aku bukanlah blogger yang sentiasa aktif di sini. ๐ Penulisan aku juga tidak seperti blogger lain. Lagi-lagi di zaman video, vlogging dan short content, memang aku jauh ketinggalan. ๐
Mungkin “passion” yang aku katakan dulu semakin hambar dan perlahan-lahan berlalu seperti angin.
Malam ini, buat kali pertama dalam tahun ini aku kembali. Tahun pun dah hampir setengah berlalu, baru aku teringat akan ruang nyaman aku di sini. Tanpa perlu rasa ragu-ragu sama ada penulisan aku akan dikecam, dipandang pelik atau dianggap poyo. Kerana fungsi blog ini sememangnya untuk “menulis”. Hahaha ๐
Salam perkenalan buat sesiapa yang baru singgah di laman ini. Perkenalkan, aku Wara.
Dulunya, ruang ini adalah tempat selamat aku. Tempat untuk aku menarik nafas lega apabila fikiran sentiasa penuh dengan kata-kata. Tapi sekarang, tempat ini menjadi ruang persinggahan untuk aku mengimbau memori lama. ๐
Bermula dari zaman sekolah, belajar, bertunang, berkahwin, bersalin, mempunyai anak seorang dan kini anak dua memang banyak aku mengarut di sini. Tarik nafas sambil tersenyum.
Aku tahu ruang ini semakin kosong dan semakin sunyi. Ada kalanya mungkin ruang ini sendiri merasakan aku sudah melupakannya. ๐ Tapi tidak. Ruang yang penuh dengan memori lama tak mungkin aku lupakan. Cuma kini ia tinggal sebagai sejarah untuk dikenang.
Terima kasih kerana pernah menjadi ruang paling tenang buat aku.
Dulu aku hanyalah seorang anak perempuan yang mempunyai terlalu banyak masa dalam sehari. Tapi kini aku seorang ibu yang kadang-kadang merasakan masa langsung tidak mencukupi.
Penat? Siapa saja yang kata tidak penat.
Tapi aku faham, itulah perjalanan hidup aku.
Umur pun dah 30 tahun. Bayangkan, ruang ini sudah wujud sejak aku berusia 13 tahun lagi. Ruang yang pernah memberi aku sumber pendapatan ketika tiada siapa memandang aku. Hahaha.
Jauh juga aku dah melangkah. Banyak yang aku kumpul, cuma tidak banyak yang aku ceritakan.
Mungkin sewaktu remaja, aku mempunyai lebih banyak perkara untuk disampaikan. Bila dah dewasa, aku lebih memilih untuk tidur daripada datang ke sini. Bukan lupa, cuma mahu menggunakan masa yang ada untuk berehat.
Pada usia 28 tahun, aku berjaya menamatkan pengajian Master aku satu impian besar dalam hidup ini. Tapi aku tidak menamatkannya keseorangan. Aku bersama teman hidup dan anak-anak.
Perjalanan yang penuh drama, tetapi akhirnya membuahkan segulung ijazah.
Tahu betapa bangganya aku waktu itu?
I’m really proud.
Namun langkah pelajaran aku tidak terhenti di situ. Aku masih mahu melangkah lebih jauh lagi. Cuma semakin aku melangkah, semakin aku rasa lelah. Kadang-kadang sampai diri sendiri pun hilang rasa percaya pada kemampuan ini.
But life must go on.
Sekarang aku banyak mengendalikan program dan ceramah untuk wanita, selaras dengan visi hidup aku. Jika tidak mampu memberi manfaat yang besar, cukuplah dapat memberi manfaat walau sedikit.
Aku mengadakan Women to Women sebuah platform yang menggabungkan tiga industri berbeza untuk menyokong usaha wanita terus melangkah. Aku juga mengendalikan Women Coffee Talk, sandtray therapy dan aktif di media sosial, bukan sebagai Wara tetapi sebagai seorang kaunselor.
Jauh kan aku dah pergi?
Termenung sekejap.
Anak-anak juga semakin membesar dan aktif. Setiap kali aku melihat mereka, aku rasa Allah telah memberi apa sahaja yang aku minta. Dan mungkin Allah hanya mahu aku menjadi hamba-Nya yang taat.
Di usia 30-an ini, mungkin aku sudah berhenti mencari siapa diri aku sebenarnya. Tapi aku lebih fokus untuk menjadi versi terbaik diri ini seorang ibu yang sedang menghidupkan cahaya dalam kehidupan anak-anaknya.
How would you love to see my life now?
Aku harap, siapa yang dah lama mengenali aku dari sini, hidup kalian juga sedang berjalan dengan baik seiring waktu.
Terima kasih kerana masih hadir di sini dan membaca penulisan aku yang kini sudah berusia 30 tahun ini.
Dan tolonglah… jangan klik penulisan aku waktu umur 13 tahun dulu. Jauh bezanya. Hahahaha









No comments:
Post a Comment